Tuesday 5 April 2016

USAHAWAN SUTRA



PENCETUS SUTRA


DIHASILKAN OLEH SEORANG ANAK MUDA BERNAMA MOHD KHAIRIL SAID
 petikan dari kosmo 22 may 2015


http://kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0522&pub=Kosmo&sec=Pesona&pg=ps_01.htm


FIKIRANNYA berserabut apabila memikirkan idea bagi menjalankan proses penyelidikan serta pembangunan produk terkini.
Tatkala sedang duduk di atas kerusi, matanya hanya memerhati beberapa rakan sekerja yang bertungkus lumus menyiapkan segala tugasan di sebuah makmal kimia di Institut Bioteknologi Melaka.
Nafasnya juga seakan-akan terhenti kerana ketandusan idea sambil mata yang lesu itu sudah terbayang tilam dan bantal di rumah.
Terlintas di fikirannya, untuk mencari kerjaya lain kerana sudah bosan biarpun ketika itu sudah memegang jawatan sebagai pegawai penyelidik.
Mohd. Khairil Said, 38, ingin mencari bidang baharu yang boleh membawanya keluar dari kepompong makan gaji.
Dia menganggap, lebih baik memperoleh rezeki berlandaskan prinsip kerja sendiri selain yakin bahawa sembilan per sepuluh rezeki adalah daripada perniagaan.
“Lantas, saya melakukan solat istikharah untuk meminta petunjuk bagi mencari apa yang patut dilakukan kerana umur saya masih muda.
“Selepas berkali-kali melakukannya, saya bulatkan tekad berhenti kerja untuk menceburkan diri dalam dunia perniagaan berdasarkan penyelidikan produk-produk herba,” katanya memulakan bicara.
Namun, hati Mohd. Khairil sedikit gundah kerana jiwanya bukan pada bidang perniagaan. Selain itu, dia mengakui bahawa bidang tersebut di luar minatnya.
Bagaimanapun, saat merasakan perniagaan adalah jalan terbaik untuk meraih kekayaan dan didesak dengan rasa ingin mencuba, Mohd. Khairil mengalah dengan perasaan tersebut.
“Pada mulanya, saya tidak terfikir untuk menjadi ahli perniagaan kerana langsung tiada minat. Saya juga tidak menyambung pengajian dalam bidang perniagaan.
“Namun, disebabkan rasa ingin mencuba, kemahiran dan pengetahuan luas dalam bidang kimia diguna pakai untuk dijadikan taruhan dalam perniagaan ini,” jelasnya.
Bagaimanapun, hasratnya terhalang apabila keluarga menentang habis-habisan perancangan itu kerana sudah mempunyai pekerjaan kukuh dan lebih terjamin.
Hari demi hari, dia cuba meyakinkan kedua-dua ibu bapanya dan selepas puas dipujuk, mereka merestui niatnya yang mahu meluaskan lagi mata pencarian itu.
Memulakan tahun 2007 dengan azam baharu iaitu ingin menjadi usahawan yang berjaya, Mohd. Khairil membuat pinjaman dengan Majlis Amanah Rakyat (Mara) sebanyak RM1.6 juta bagi kos pembinaan kilang, peralatan dan domestik.
Bagaimanapun, jumlah tersebut tidak mencukupi kerana masih memerlukan RM2.5 juta bagi menyempurnakan perancangan tersebut.
“Saya terpaksa meminjam daripada ahli keluarga dan kenalan untuk menampung kos tersebut.

Bukan setakat itu sahaja, saya meminta isteri menggadaikan barang-barang kemas bagi memastikan jumlah yang diinginkan itu mencukupi,” katanya.
Petanda baik
Detik paling terkesan sudah pasti apabila dia ditipu oleh seorang kenalan dengan kerugian kira-kira RM60,000 kerana mempercayai bantuan yang diberikan bagi bersama-sama membuka perniagaan tersebut.
Bagaimanapun, ia tidak berputus asa malah, berkat kesabaran dia berjaya membuka kilang dengan dibantu 10 orang pekerja pada tahun tersebut.
Selepas itu, dia secara perlahan-lahan mengeluarkan produk minyak herba dengan kapasiti terhad kerana mahu melihat dahulu potensi pasaran. Andainya berjaya membawa keuntungan, sudah pasti ia satu petanda baik baginya untuk meneruskan cita-cita kedua itu.
“Alhamdulillah, berkat kesabaran, produk pertama iaitu pati minyak herba dihasilkan kira-kira setahun selepas itu dan mula dijual secara kecil-kecilan di sekitar Melaka.
“Biarpun belum boleh menjana keuntungan, saya tetap tidak patah semangat kerana percaya lambat laun rezeki itu akan mula datang,” ujarnya.
Selepas melihat pasaran yang kecil, Mohd. Khairil giat mencari idea untuk melebarkan sayap namun, pada masa sama dia tidak mahu tergopoh-gapah kerana bimbang hasilnya mengecewakan.
Justeru, dia cuba menjual produk tersebut secara pukal dan membuat jualan langsung dari rumah ke rumah. Ketika itu, dia mempelajari selok-belok perniagaan dan komunikasi yang langsung tiada dalam perwatakan selama ini.
“Saya mula jual dalam kuantiti 5 ke 10 kilogram dalam lingkungan harga RM40 kerana mahu melihat potensinya terlebih dahulu.
“Memang pada mulanya agak perlahan namun, masih boleh dijual. Pendapatan pertama juga tidak begitu membanggakan namun, masih boleh menampung terutamanya membayar kos upah dan pembuatan,” jelasnya.

MOHD. KHAIRIL (dua dari kiri) menerangkan kepada Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Yahya Hussin (dua dari kanan) sambil diperhatikan Menteri Sains dan Inovasi, Datuk Dr. Ewon Ibin dan Timbalannya, Datuk Dr. Abu Bakar Mohamad Diah sempena Bio Borneo 2015 di Kota Kinabalu, Sabah baru-baru ini.


Ketika itu, dia hanya dapat menjual kira-kira 100 barang dan di situlah dia merasakan cabaran sudah mula dirasai terutamanya persaingan serta kepercayaan masyarakat terhadap produk keluarannya.
Senario itu berlarutan kira-kira setahun dan graf perniagaannya mencatatkan prestasi turun naik sehingga memaksa dia memikirkan strategi pasaran lebih berkesan.
Terbit juga rasa sesal sehingga jiwanya cukup berbekas apabila produk itu kurang mendapat sambutan pelanggan biarpun pelbagai cara diusahakan.
“Pada ketika itu, saya masih belum memiliki premis. Jadi, saya rasa seperti berputus asa kerana kepenatan menjual barang-barang tersebut tidak mendatangkan pulangan baik.
“Saya hanya mampu bersabar kerana situasi itu juga dilalui orang lain dan banyak perkara yang saya belajar selepas melihat sedikit kegagalan pada percubaan pertama ini,” katanya.
Fasa muram
Bercerita mengenai pengalaman yang mengecewakan, dia pernah mengalami situasi tiada duit selama enam bulan dan modal yang ada hanya cukup untuk membayar kos pekerja serta pengeluaran produk.
Bukan itu sahaja, dia juga gagal melunaskan sewa bulanan dan duit potongan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Menurutnya, situasi pada tahun 2008 hingga 2010 begitu teruk dan dugaan datang silih berganti sehingga menjejaskan kewangan syarikat.
Selepas mengalami fasa muram, dia bertindak lebih agresif untuk mencari penyelesaian bagi menghidupkan kembali perniagaannya selepas yakin produk tersebut mampu menambat hati ramai orang.
Dia kemudiannya giat menjalankan penyelidikan dan efisien terhadap sumber alam semula jadi serta mencari formula baharu untuk mengeluarkan produk lebih berkualiti.
Mohd. Khairil mengambil masa kira-kira dua tahun untuk kembali memulihkan perniagaan berdasarkan kepada kursus-kursus dan kajian dijalankan terhadap produk.
Pada masa sama, dia juga mengambil kira pandangan pengguna yang telah menggunakan produk tersebut bagi mengetahui apa yang perlu ditambah baik atau sebaliknya.
Dia langsung tidak melatah tatkala ada pengguna yang kurang berpuas hati kerana memahami produk-produk seperti itu ibarat cendawan yang tumbuh selepas hujan.
“Perkara itu menjadi dorongan kepada saya untuk menghasilkan produk lebih baik dan memberi kepuasan kepada pengguna.
“Alhamdulillah, selepas berhempas pulas selama dua tahun, produk keluaran saya mula membuahkan hasil sehingga permintaan meluas termasuk menerima tempahan dari Singapura, Brunei dan Indonesia,” katanya.
Kini, produk Sutra sudah mula menembusi pasaran Mesir, Pakistan dan terbaru di Belanda. Semuanya hasil promosi yang dibuat ketika mengikuti rombongan perniagaan bersama Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia ke Eropah tahun lalu.
Kesan positif
Sutra merupakan produk penjagaan dan kecantikan diri yang dikeluarkan khusus kepada semua peringkat usia serta jantina.
Produk Sutra merangkumi aromaterapi, wangian dan kesihatan.
Selain harganya yang murah bermula RM40 hingga RM120, kesemua produk tersebut dijamin halal.
Setiap bulan, permintaan produknya boleh mencecah 200,000 unit dengan purata pendapatan sebulan mencecah hampir RM1 juta.
“Alhamdulillah, saya mengambil masa kira-kira lima tahun untuk mengukuhkan pasaran bermula secara kecil-kecilan sehinggalah berskala besar seperti hari ini.
“Momentum yang ditunjukkan sejak tahun 2012 cukup baik dan memberi kesan positif kepada perniagaan saya sehingga hari ini,” jelasnya.
Katanya, jatuh bangun selama lima tahun dalam dunia perniagaan banyak mematangkan dirinya untuk menjadi usahawan yang lebih baik.
Kini, Mohd. Khairil mempunyai pusat pengedaran di Kota Kemuning, Shah Alam, Selangor bagi memudahkan proses pengedaran, penghantaran dan jualan.
Justeru, kemudahan yang sedia ada itu membolehkannya memasang impian untuk terus melebarkan sayap perniagaan.
Pada masa sama, Mohd.Khairil turut berazam mahu menambah beberapa lagi produk bagi memastikan jenama Sutra kukuh di pasaran.

No comments:

Post a Comment